JOHOR BAHRU: Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) mempertimbang untuk memohon menambah musolla sekolah di negeri ini untuk kemudahan kepada pelajar mendirikan solat Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, musolla sekolah itu turut memberi manfaat kepada masyarakat setempat bagi menunaikan ibadah tersebut.
Katanya, walaupun ketika musim cuti sekolah, musolla yang dibenarkan untuk didirikan sembahyang Jumaat akan dibuka seperti biasa.
“Musolla Sekolah yang mula beroperasi semalam berjalan dengan lancar dan memberi gambaran mengenai keperluan diperluaskan ke kawasan yang memerlukan.
“Kita ada membuat permohonan tapi atas keperluan terkini, diluluskan sebanyak sembilan sekolah dahulu, mungkin kalau ada keperluan yang lain kita mohon juga,” katanya kepada pemberita ketika melawat rumah dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang musnah dalam kebakaran di Kampung Sri Jaya, di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid dilaporkan berkata, sembilan Musolla Sekolah antara 20 lokasi baharu dibenarkan untuk didirikan solat Jumaat di negeri ini.
Beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi kebenaran itu selepas dipersembahkan Jawatankuasa Fatwa Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Musolla sekolah yang dibenarkan didirikan solat Jumaat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medini, Iskandar Puteri; SMK Majidi Baru 2; SMK Pasir Gudang 3; Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru, Johor Jaya di daerah ini.
Ia turut melibatkan SMKA Maahad Muar dan SMK Pagoh (Muar); SMK Tun Habab (Kota Tinggi); Sekolah Menengah Sains Sultan Iskandar dan Maahad Tahfiz Al- Khairiah Mersing (MATAM) di Mersing selain Musolla Kampung Orang Asli Punan, Mersing.
Aznan berkata, kriteria pemilihan musolla sekolah adalah ia berada jauh dari masjid untuk sembahyang Jumaat dan berada di kawasan kepadatan penduduk yang tinggi. – UTUSAN