PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kesalahan selama enam bulan bermula esok.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia melibatkan tiga jenis notis saman JPJ iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).
“Ketiga-tiganya biasanya kadar kompaunnya ialah RM300. Jadi kita memberikan satu kadar kompaun khas bermula esok untuk selama enam bulan supaya mereka menyelesaikan kompaun ini.
“Usaha itu diharapkan dapat meringankan beban rakyat kerana pihak JPJ sendiri selama ini memang tidak pernah pun menyediakan kadar diskaun untuk segala saman,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pejabat JPJ Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Menyentuh tawaran kali ini, beliau berkata, pembayaran saman tertunggak ini boleh dibayar terus melalui kaunter pejabat JPJ, portal awam, mesin kiosk dan juga kaunter bergerak JPJ serta aplikasi myJPJ.
Kata beliau, pembayaran saman itu tidak boleh dilakukan melalui MyEG atau Pos Malaysia.
Sementara itu, beliau berkata pengumpulan mata demerit akan dihentikan sementara mulai esok hingga 30 Jun depan.
Katanya, dalam tempoh itu, Bahagian Penguat Kuasa JPJ akan menjalankan kajian semula terhadap kaedah pelaksanaan Sistem Mata Demerit. – UTUSAN