ALOR SETAR: Sebuah van pelancong dari Thailand disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah setelah pemandunya mempunyai saman tertunggak berjumlah RM17,700 yang tidak dijelaskan sejak 2013.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, pihaknya menahan pemandu lelaki berusia lingkungan usia 40-an itu dalam operasi khas di daerah Kubang Pasu, baru-baru ini.
Katanya, pemeriksaan terhadap warga asing terbabit mendapati dia memiliki pelbagai kesalahan lampau yang dilakukan di negara ini.
“Kenderaan disita sehingga dia menjelaskan semua saman itu. Ini adalah saman tertinggi kami peroleh setakat ini dan kami minta saman itu dijelaskan secara penuh tanpa ansuran,” katanya pada sidang akhbar di Terminal Bas Shahab Perdana, di sini.
Katanya, antara kesalahan dilakukan adalah menyalahgunakan Permit Edaran Antarabangsa (ICP) serta kesalahan teknikal.
Beliau berkata lagi, JPJ Kedah mengeluarkan sebanyak 352 saman terhadap kenderaan asing yang melakukan kesalahan dengan jumlah kutipan sebanyak RM101,300 sepanjang Op Tunggak sejak bulan lepas.
Sementara itu, pemeriksaan bas di depoh dilakukan bermula 13 Januari hingga 19 Februari ini, manakala perintah larangan pergerakan kenderaan berat bermula 27 Januari hingga 28 Januari dan 1 hingga 2 Februari sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Beliau berkata, sebanyak tiga kes dikesan dan telah diambil tindakan menerusi penyamaran dilakukan anggota JPJ di dalam bas.
“Antara kesalahan adalah pemandu menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tiada pemandu kedua dan memotong di garisan berkembar,” katanya.-UTUSAN