JPJ P.Pinang sita 8 motosikal, keluar 188 saman dalam 4 jam

JPJ P.Pinang sita 8 motosikal, keluar 188 saman dalam 4 jam

ZULKIFLY Ismail (kiri) turut serta dalam operasi khas motosikal yang diadakan secara bersepadu oleh JPJ bersama beberapa agensi lain di Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Lapan buah motosikal telah disita manakala 188 notis saman atas pelbagai kesalahan turut dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam tempoh empat jam semasa operasi khas motosikal secara bersepadu diadakan di negeri ini, malam tadi.

Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 540 motosikal telah diperiksa dalam operasi yang bermula sejak 6 petang sempena sambutan tahun baharu itu dengan 135 daripada kenderaan tersebut telah diambil tindakan.

Katanya, antara kesalahan utama yang dikesan ialah tidak memiliki lesen kenderaan motor (LKM) atau LKM tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans dengan 42 kes, tidak memiliki lesen memandu atau lesen memandu tamat tempoh (20 kes) serta tidak mempamerkan pelekat P dan L pada motosikal dengan 17 kes.

“Kesalahan teknikal yang dikesan pula ialah nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dengan 31 kes, ubah suai ekzos dan aksesori (21 kes) serta 56 kes yang melibatkan lain-lain kesalahan teknikal.

“Selain JPJ, polis yang turut serta dalam operasi ini turut mengeluarkan 30 saman atas pelbagai kesalahan manakala satu lagi agensi iaitu AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) pula berjaya mengesan satu kes positif dadah selepas melakukan 15 pemeriksaan rawak terhadap penunggang motosikal,” katanya kepada pemberita, semalam.

Selain pemeriksaan berhampiran plaza tol Bagan Ajam di sini, dua lagi lokasi operasi tersebut ialah berhampiran susur masuk ke Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Kedua Pulau Pinang, dekat sini.

Sementara itu, Zulkifly berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 114,933 buah motosikal telah diperiksa sepanjang 2024 sehingga semalam dengan 24,588 daripada kenderaan tersebut telah diambil tindakan.

Katanya, dalam tempoh itu juga, sebanyak 44,590 notis saman telah dikeluarkan dengan 778 motosikal telah disita.

“Tiada lesen memandu kekal sebagai antara kesalahan paling tinggi sepanjang 2024 iaitu sebanyak 12,670 kes diikuti oleh tiada LKM atau LKM tamat tempoh (8,856 kes) dan tiada perlindungan insuran sebanyak 8,123 kes,” ujar beliau.

Tambahnya, operasi itu merupakan inisiatif proaktif berterusan oleh JPJ untuk memastikan penunggang motosikal khususnya mematuhi undang-undang lalu lintas selain sebahagian daripada usaha agensi tersebut untuk meningkatkan keselamatan jalan raya ketika ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya