JPJ, AADK gempur pemandu bas positif dadah - Utusan Malaysia

JPJ, AADK gempur pemandu bas positif dadah

ANGGOTA Agensi Dadah Kebangsaan memeriksa urin pemandu bas semasa operasi khas dan kempen keselamatan jalan raya bersempena perayaan Tahun Baru Cinadi Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melaksanakan ujian saringan air kencing terhadap pemandu bas di seluruh negara dalam usaha memastikan pematuhan ketat sepanjang Op Khas Tahun Baharu Cina 2025.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk syarikat pengusaha bas yang masih melanggar undang-undang.

“Dalam operasi berkenaan, sebanyak 420 pemandu bas menjalani ujian saringan air kencing dan hasilnya enam daripada mereka dikesan positif dadah.

“JPJ memandang serius perkara tersebut dan tindakan tegas diambil terhadap pemandu serta syarikat yang masih berdegil,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi di Terminal Bersepadu Selatan di sini, malam tadi.

Menurutnya, sejak operasi bermula pada 20 Januari lalu, sebanyak 6,605 bas diperiksa di 54 depoh dan 28 terminal utama seluruh negara.

Menurut Aedy, dalam pemeriksaan itu, JPJ  mengeluarkan 635 notis kesalahan membabitkan 410 saman, 98 notis larangan penggunaan kenderaan, 90 notis arah periksa, 16 notis permintaan butiran pemandu dan pelbagai kesalahan lain.

“Banyak kesalahan teknikal dikesan, antaranya 120 kes tayar botak.

“Pemandu memberi alasan tidak sempat periksa atau terlupa, sedangkan tanggungjawab itu juga terletak di bahu pengusaha bas,” ujarnya.

Katanya, JPJ turut melaksanakan penyamaran sebagai penumpang untuk mengesan salah laku pemandu.

“Terdapat pemandu yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan ada juga yang memandu melebihi empat jam tanpa pemandu kedua.

“Langkah penyamaran berkenaan berjaya meningkatkan kesedaran mereka kerana sedar mereka sedang dipantau,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Azmi Mustafa berkata, pelbagai alasan diberikan oleh pemandu yang dikesan positif dadah.

“Ada yang mendakwa terlalu penat kerana jadual kerja padat dan mahu menambah trip perjalanan.

“Setakat ini, dadah yang paling banyak digunakan adalah jenis amphetamine,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya