JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat pertama dengan kerajaan Singapura esok, selepas pemeteraian perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor- Singapura (JS-SEZ) bagi membincangkan gerak kerja untuk menarik pelaburan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, antara fokus utama mesyuarat tersebut ialah merancang program promosi secara bersama dan kaedah pemudah cara perniagaan.
Selepas itu kerajaan negeri akan mengadakan bengkel permulaan berkaitan dengan keseluruhan kerangka utama bagi zon ekonomi khas tersebut, Khamis ini.
“Apabila keseluruhan ‘master plan’ (pelan induk) zon ekonomi khas itu dimuktamadkan, kita akan memulakan perbincangan dengan kerajaan Singapura untuk memasuki fasa pelaksanaan JS-SEZ secara bersepadu.
“Setelah perjanjian JS-SEZ dimeterai, ramai pelabur bertanyakan apa yang kerajaan negeri tawarkan daripada perjanjian tersebut. Sebab itu, kita perlu segera bertindak,” katanya selepas menghadiri Forum Bekalan Elektrik Hijau 2025 di Hotel Opero, di sini hari ini.
Ting Han berkata, Pusat Pemudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) Johor dijangka dilancarkan pada awal bulan depan, sekali gus membantu melancarkan usaha membawa masuk pelaburan ke negeri ini.
Menurutnya, kerajaan telah merangka beberapa insentif untuk menarik pelaburan, antaranya insentif fiskal yang menyasarkan lima sektor utama iaitu aeroangkasa, farmaseutikal, peranti perubatan, kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum serta ‘specialty chemical’.
“Sekiranya sesebuah syarikat melabur melebihi RM1 bilion, kita tawarkan cukai pendapatan korporat pada kadar lima peratus sahaja bagi tempoh 15 tahun. Bagi yang membuat pelaburan antara RM500 juta hingga RM1 bilion, kita tawarkan lima peratus cukai pendapatan korporat selama 10 tahun,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri juga menyediakan insentif spesifik bagi membangunkan taman tema bersepadu, sektor mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) dan bantuan perniagaan yang akan diumumkan secara berperingkat pada masa akan datang. – UTUSAN