ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menuntut mana-mana individu yang terbabit sehingga Batu Puteh terlepas kepada Singapura dibawa ke muka pengadilan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan penarikan permohonan semakan dan tafsiran terhadap membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) dibuat secara sengaja dan tanpa asas munasabah kerana langkah itu bertentangan fakta sejarah dan nasihat perundangan.
“Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 5 Disember 2024 berhubung pengendalian kes kedaulatan Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah dan Tubir Selatan mendedahkan tindakan Kerajaan Persekutuan menarik balik permohonan semakan dan tafsiran keputusan ICJ pada 23 Mei 2018.
“Tindakan itu dibuat meskipun wujud bukti-bukti baharu yang mengukuhkan tuntutan Malaysia, malah mematahkan alasan penghakiman (ICJ) tahun 2008 yang memihak kepada Singapura,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap pihak terbabit.
Tambah Onn Hafiz, tindakan tidak meneruskan permohonan tuntutan Malaysia terhadap kes Batu Puteh, maka tercatatlah titik paling hitam dalam lembaran sejarah Malaysia dan Johor di mana negara kehilangan peluang mendapatkan kembali wilayah jajahan Kesultanan Johor.
Beliau menegaskan, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menggugat keharmonian dan kedaulatan negeri Johor dan Malaysia.
Kata beliau, pihaknya turut mengingatkan agar tidak ada pihak yang memutarbelitkan isu ini sehingga mengancam kedaulatan negeri dan negara. – UTUSAN