JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri bersetuju menetapkan 6 Januari, iaitu Isnin depan sebagai cuti ganti kepada penjawat awam negeri dan Persekutuan yang berkhidmat di Johor.
Walau bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan tetap diteruskan seperti dijadualkan pada tarikh tersebut.
Katanya, keputusan itu diambil supaya tidak menjejaskan momentum persediaan peperiksaan yang telah dibuat seramai 49,980 calon SPM di negeri ini.
“Pada 6 Januari ini, Johor sememangnya cuti. Itu keputusan diambil kerajaan negeri, cuma bagi pelajar SPM mereka akan teruskan peperiksaan kerana tidak mahu ganggu momentum mereka.
“Bagi guru-guru yang bertugas pada hari tersebut, mereka diberi ruang untuk mengambil cuti ganti selepas tamat peperiksaan SPM kelak,” katanya semasa meninjau pelaksanaan hari pertama ujian bertulis SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru, di sini hari ini.
Aznan berkata, peperiksaan SPM 2024 berjalan lancar di 376 pusat peperiksaan yang ditetapkan di negeri.
“Peperiksaan SPM di negeri ini dikendalikan dan dipantau oleh 5,335 petugas, termasuk ketua pengawas, sukarelawan dan guru-guru.
“Peperiksaan SPM melibatkan calon yang kediaman mereka terjejas banjir juga berjalan lancar kerana sekolah yang dijadikan pusat peperiksaan tidak terjejas,” katanya.
Beliau berkata, pertukaran cuti hujung minggu Johor ke Sabtu dan Ahad bermula tahun ini tidak akan menjejaskan pelaksanaan solat Jumaat melibatkan murid, pelajar dan guru.
“Kita telah beri ruang rehat yang panjang, waktu persekolahan hari Jumaat juga tamat pada pukul 12 tengah hari, sebelum sesi petang bermula antara 2.30 atau 2.45 petang. Jadi ruang untuk menunaikan solat Jumaat itu memang mencukupi,” katanya. – UTUSAN