KOTA TINGGI: Sembilan termasuk seorang wanita dihadapkan di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan melakukan jobscam yang mensasarkan warganegara United Kingdom minggu lalu.
Tertuduh Lee Kok Hong, 28 Alvin Loh Kar Xuan, 20, Stella Teo Kai Ting, 20, Tristan Wong Yong Jing, 22 Liow Jia Wei, 21, Teng Kai Wen, 20 Ernest Koh Boyuan, 23, Chin Jun Soon, 20 dan Koh Zhi Yu, 24 mengangguk faham dan mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka pada 16 Januari lalu pada kira-kira 5 petang di Taman Desaru Utama, Bandar Penawar adalah pihak kepada suatu pakat jahat jenayah dan berikutan dengan itu, dan dengan tujuan melakukan pakat jahat jenayah tersebut telah bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu membuat penipuan atas talian dengan tawaran kerja sambilan tidak wujud (job scam).
Dengan jalan demikian itu mendorong dengan curangnya orang-orang yang terpedaya supaya memindahkan hartanya kepada kamu, iaitu suatu perbuatan yang menyalahi Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Oleh demikian kesemua tertuduh telah didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 120b(2) Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan pemenjaraan tidak lebih daripada enam bulan, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fang Leong manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Tan Hik Tao dan G.Neshaline.
Fang Leong memohon kesemua tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal dengan mengambil kita kepentingan awam bagi mengelakkan masyarakat luar mengulangi kesalahan yang sama.
Katanya perbuatan tertuduh yang mensasarkan mangsa dari United Kingdom telah menjatuhkan maruah dan memberi persepsi tidak baik negara luar kepada negara. – UTUSAN