BALIK PULAU: Syarikat Milik Penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), JKP Sdn. Bhd. (JKPSB) komited menjadi pemacu utama pembangunan hartanah di Pulau Pinang khususnya dalam menyediakan perumahan mampu milik bagi golongan bumiputera.
Pengerusi JKPSB, Tan Sri Khalid Ramli berkata, pada masa ini, syarikat itu yang juga merupakan agensi pelaksana kepada Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) telah dan sedang giat melaksanakan beberapa projek perumahan yang disasarkan untuk golongan berkenaan.
“Projek yang telah siap dibina dan dibuat penyerahan kunci pada hari ini adalah projek Elvina yang terdiri daripada 24 unit rumah teres dua tingkat dan dua unit rumah berkembar dua tingkat di Balik Pulau, Pulau Pinang.
“Untuk tahun ini juga, terdapat empat projek baharu yang bakal dilancarkan oleh JKPSB dengan tiga daripada projek itu terletak di Nibong Tebal manakala satu lagi projek di Permatang Pauh.
“Tiga projek yang terletak di Nibong Tebal adalah Kedai Pejabat Dua Tingkat Seri Putera Fasa 10, Saujana Permai Fasa 2 dan Seri Saujana Fasa 6/7 manakala projek di Permatang Pauh pula melibatkan kawasan penempatan moden iaitu 31 Residence,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Khalid yang juga Pengerusi MPBPP berkata, secara keseluruhannya, lebih 1,000 unit perumahan akan dilancarkan daripada keempat-empat projek baharu itu selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Katanya, Projek Residensi 31 di Permatang Pauh akan dilancarkan pada Julai depan yang dijangka menjadi mercu tanda baharu di Permatang Pauh disebabkan lokasinya yang strategik dan penawaran yang komprehensif manakala tiga lagi projek di Nibong Tebal pula dijangka dilancarkan sekitar Mei atau Jun ini.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa JKPSB akan cuba mengawal harga rumah mereka bagi memastikan kumpulan sasar mampu membeli rumah yang ditawarkan pada harga yang berpatutan. – UTUSAN