IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menumpaskan penjualan produk bina badan mengandungi anabolik steroid selepas serbuan dijalankan ke atas enam premis yang dijadikan stor penyimpanan, semalam.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM), Mohd. Zawawi Abdullah berkata, selain anabolik steroid, turut dirampas dalam serbuan itu ialah produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi dengan jumlah keseluruhan sebanyak 620 jenis bernilai RM2.06 juta.
Katanya, satu unit peranti digital yang digunakan sebagai medium untuk memasarkan produk itu secara dalam talian turut dirampas dalam serbuan berkenaan.
“Dalam operasi itu juga, enam individu berusia 30 hingga 50 tahun dipercayai pemilik premis dan pengarah syarikat ditahan untuk diambil keterangan.
“Siasatan dijalankan mendapati kebanyakan produk yang diimport dari luar negara itu telah berada dalam pasaran tempatan sejak empat tahun lalu sebelum dijual secara dalam talian,” katanya dalam sidang akhbar di Bahagian Perkhidmatan Farmasi JKN Perak di Tanjung Rambutan, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Cawangan Perisikan dan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM, Mohd. Azaruddin Azis; Timbalan Pengarah (Farmasi) JKN Perak, Norhuda Mohd. Tajuddin dan Ketua Cawangan Penguatkuasaan Farmasi JKN Perak, Zaidi Ahmad.
Menurut beliau, steroid termasuk dalam kategori racun terkawal dan perlu diambil atas nasihat doktor atau ahli farmasi, namun ia kerap disalah guna untuk membina otot badan.
Katanya, pengambilan steroid tanpa pengawasan boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, kencing manis, tekanan darah tinggi dan ketidakseimbangan hormon di dalam badan.
“Ada sebahagian ubat yang kita rampas terdiri daripada anabolik steroid yang kerap disalah guna untuk membina badan dan ubatan racun lain yang digunakan untuk maksud sama iaitu meningkatkan keberkesanan steroid atau bagi tujuan menghilangkan kesan sampingan.
“Selain itu, ada juga ubat-ubatan tidak berdaftar termasuk ubat tradisional dan makanan tambahan yang dibawa masuk dari luar negara tanpa melalui saluran yang sah.
“Setakat ini, kita belum dapat mengenal pasti negara tersebut dan kita sedang mengesan ejen yang membawa masuk produk berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, bagi kesalahan memiliki racun berjadual untuk tujuan jualan tanpa lesen racun yang sah, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 32(2).
“Bagi penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi, siasatan dijalankan mengikut Peraturan 7(1)(a) dan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Dalam serbuan ini, empat kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN