PEKAN: Jenazah lima beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 65 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin di sin, semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Nenasi Pantai di sini, hari ini.
Jenazah Hamzah Zahari, 52, dan isterinya, Rahimah Awang Muda, 38, serta tiga anak mereka, Ainul Mardhiyah,10, Muhammad Luqman Nur Hakim, 8, dan Muhammad Lutfi, 4, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 1.10 petang.
Terdahulu, kesemua jenazah yang menjalani bedah siasat di Hospital Pekan selesai dimandikan kira-kira pukul 4.30 pagi tadi.
Jenazah kemudian dibawa ke Masjid Nenasi dan disembahyangkan pada pukul 6 pagi.
Semalam, pergerakan pulang sebuah keluarga daripada membeli barangan bersama-sama di bandar Rompin menjadi perjalanan terakhir apabila kesemua mereka menemukan ajal selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 65 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin.
Kejadian kira-kira pukul 7 petang itu menyaksikan kereta jenis Proton Wira yang dinaiki lima mangsa itu bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina. – UTUSAN