KUALA TERENGGANU: Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) mendahului Terengganu FC (TFC) 1-0 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam ini.
Romel Morales mencatat nama sebagai penjaring selepas menyambar peluang terhidang pada minit ke-16 hasil keadaan kelam kabut di pintu gawang TFC, berpunca daripada sepakan penjuru pertama perlawanan.
Morales hampir menambah jaringan kedua JDT dan peribadinya 19 minit kemudian, namun tidak dikira berikutan terdapat kekasaran ke atas pemain TFC selepas pengadil menyemak video bantuan pengadil (VAR).
Pasukan pelawat kemudian melancarkan beberapa serangan untuk melebarkan jaringan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga berakhir babak pertama perlawanan. – UTUSAN