Jawatankuasa khas bincang isu penempatan haram Bukit Malut

Jawatankuasa khas bincang isu penempatan haram Bukit Malut

SEBUAH jawatankuasa khas ditubuhkan berkaitan penempatan haram Bukit Malut di Langkawi. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Satu jawatankuasa khas dipengerusikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ditubuhkan bagi membincangkan isu penempatan haram Bukit Malut di Langkawi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jawatankuasa berkenaan turut disertai Kerajaan Negeri Kedah dan mesyuarat berkaitan telah pun diadakan yang juga menjadi perhatian Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Perkara Bukit Malut di bawah bidang kuasa MKN. Saya sendiri tahun lepas telah pun melawat tempat itu dan perkara ini dalam perbincangan antara KDN dengan MKN.

“Sebenarnya sudah pun ada jawatankuasa atau mesyuarat yang dipengerusikan oleh MKN dan juga Kerajaan Negeri Kedah diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri. Cuma saya belum hebahkan lagi butiran hasil mesyuarat itu,” katanya dalam sidang akhbar Program Sua Mesra KDN di Karangan, hari ini.

Saifuddin berkata, pihaknya turut memiliki pangkalan data berkaitan penduduk di situ termasuk bilangan, latar belakang, status ekonomi, pendidikan, kerjaya dan peringkat umur mereka yang mendiami kawasan itu.

“Kita telah membuat semakan berkaitan semua aspek itu untuk kita meneliti proses seterusnya berkaitan Bukit Malut,” ujarnya.

Isu penempatan haram Bukit Malut menjadi polemik sejak sekian lama ekoran pelbagai masalah di kawasan itu yang belum berjaya diselesaikan sehingga kini.

Utusan Malaysia juga pernah beberapa kali melaporkan isu di penempatan itu termasuk operasi meroboh rumah tidak berpenghuni dan bangunan dalam pembinaan oleh Permodalan Kedah Berhad (PKB) selaku pemilik tanah di situ pada 2022.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KDN melalui Jabatan Imigresen (JIM) akan terus menyerbu lebih banyak klinik yang beroperasi secara haram menggunakan doktor palsu warga asing di negara ini susulan serbuan di ibu negara, kelmarin.

“Sebahagian besar (operasi klinik haram) dikesan di Lembah Klang dan beberapa kawasan berdekatan. Kita sudah kenal pasti dan tahu lokasi klinik itu beroperasi dan semuanya dalam radar pihak JIM,” katanya.

Ujar Saifuddin, kegiatan itu bermula apabila ada pihak mengambil kesempatan inisiatif kerajaan menggalakkan aktiviti perubatan pelancongan bagi menarik pesakit mendapat rawatan di Malaysia.

Katanya, bagi mengelak pihak tertentu terus mengambil peluang, JIM akan betindak memastikan setiap permohonan dibuat melalui visa perubatan diteliti bagi mengelak ia disalah guna pihak terbabit.

“Oleh kerana permintaan itu tinggi, maka timbul gejala sama ada klinik palsu, doktor palsu, sijil perakuan doktor palsu, tapi macam mana sekalipun, sistem JIM tidak sewenang-wenangnya boleh mereka atasi. Saya bgi jaminan JIM akan terus melihat perkara ini dengan cermat sebelum sesuatu visa dikeluarkan bagi tujuan ini,” katanya.

Kelmarin, JIM menyerbu 10 premis di ibu kota yang disyaki beroperasi sebagai klinik secara haram sejak setahun lalu dan menahan 10 lelaki warga Bangladesh menyamar sebagai doktor di setiap lokasi terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya