KUALA TERENGGANU: Perikatan Nasional (PN) perlu lebih realistik sebelum bercita-cita mengangkat pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri dengan mengambil kira kemampuan memenangi jumlah kerusi [ada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Naib Ketua UMNO Bahagian Setiu, Mohd. Iskandar Jaafar berkata, kenyataan yang sering keluar dari mulut kepemimpinan mereka berhubunh jawatan nombor satu itu selama ini boleh dianggap hanya sebagai ‘uji pasaran’.
“Sebenarnya mereka sedar hakikat itu, namun sikap Pas sudah dijangka kerana mereka meletakkan jawatan dan kuasa sebagai matlamat utama perjuangan dengan berlindung di sebalik imej parti berorientasikan Islam.
“Sebelum bercakap mengenai kelayakan mereka untuk menjadi parti pemerintah utama negara ini, Pas perlu mengira berapa jumlah kerusi yang mampu dimenangi pada PRU-15.
“Bergabung dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pun, mereka masih tidak mampu membentuk kerajaan persekutuan tanpa bantuan parti lain terutama di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kekuatan Pas hanya berdasarkan sokongan kawasan majoriti Melayu terutama negeri Pantai Timur dan utara semenanjung yang dikenali sebagai Malay Belt State.
“PN perlu melebarkan pengaruh ke Sabah dan Sarawak untuk mendapat majoriti mudah dan membentuk kerajaan. Soalnya, apakah Pas mampu menarik sokongan ini kerana sejarah PRU lepas menunjukkan parti itu tidak mampu memenangi banyak kerusi jika bertanding secara solo.
“Bersatu pula jelas perlu bergantung kepada Pas untuk bergerak di peringkat akar umbi kerana mereka tidak mempunyai kekuatan jentera,” katanya. – UTUSAN