PETALING JAYA: Kerap memuat naik perkongsian islamik, pelakon, Nora Danish tampil mengingatkan setiap individu untuk tidak menghakimi antara satu sama lain termasuklah golongan agamawan.
Nora menerusi sebuah perkongsian di Instagram Story berkata, meskipun seseorang itu menutup aurat dengan sempurna tidak bermakna mereka terlepas daripada melakukan kesilapan.
“Bila mereka yg bertudung, atau berjubah, ber serban, di anggap suci dan tidak boleh melakukan dosa.
“Dan di hukum, di hina teruk bila mereka melakukannya. Sampai terkadang dituduh munafik,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Nora turut memuat naik potongan video seorang wanita menjelaskan bahawa tiada manusia yang sempurna walaupun mereka seorang yang beriman.
Tambah pelakon drama Puteri itu, orang ramai seharusnya mengubah tanggapan tersebut kerana usaha seseorang itu untuk perbaiki diri dan bertaubat adalah lebih mulia di sisi Pencipta.
“Mentaliti ini kita kena ubah, dan sedar bahawa mereka juga manusia biasa, tidak lari dari melakukan dosa. Yang Allah lihat adalah taubat nya.
“Jadi jangan lah kita pandang sesiapa pun suci. Semua pun sama makhluk Allah supaya kita tidak terlalu menilai mereka jika mereka diuji,” jelasnya.
Sejak kebelakangan ini, hijrah Nora sering menjadi sorotan ramai lebih-lebih lagi pelakon itu kerap dilihat menghadiri majlis-majlis ilmu.
Bahkan, ibu kepada dua orang anak itu juga kerap dipuji netizen kerana penampilannya yang sempurna menutup aurat sejak berpisah dengan bekas suaminya, Nedim Nazri pada Jun lalu. -UTUSAN