PETALING JAYA: Rakyat Malaysia yang berada di luar negara digesa untuk tidak memandang rendah terhadap kemajuan teknologi, kepakaran dan bakat yang ada di tanah air.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelabur global secara berterusan mengiktiraf penguasaan teknologi yang ada di Malaysia.
Kata beliau, ramai dalam kalangan pelabur terus membuat pelaburan di Malaysia selepas bertahun-tahun menjalankan perniagaannya di dalam negara.
“Contohnya, Infineon Technologies AG yang merupakan pengeluar semikonduktor terbesar Jerman, mereka baru-baru ini melabur enam bilion euro kerana mereka menganggap Malaysia mempunyai tahap kepakaran, teknologi dan bakat selain di negara mereka,” katanya menurut Bernama.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan semasa Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra bersama lebih 700 diaspora Malaysia, di London, United Kingdom (UK).
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia mempunyai kira-kira 140,000 pelajar luar negara di universiti tempatan kerana standard universiti di dalam negara yang tinggi.
Beliau berkata, syarikat Malaysia seperti YTL, Eco World, Sime Darby dan TNB menunjukkan prestasi yang baik di United Kingdom dan berjaya memenangi projek melalui tender terbuka terutamanya disebabkan oleh teknologi dan tenaga kerja yang mereka miliki.
Jelansya, pelajar yang belajar di UK atau negara lain boleh terus kekal dan bekerja di negara tempat mereka belajar, untuk menimba pengalaman dan memperoleh teknologi baharu.
“Malah JPA sedang memikirkan untuk membenarkan pelajar tajaan mereka untuk tinggal dan terus belajar jika mereka tidak diperlukan untuk segera pulang,” katanya. – UTUSAN