KOTA BHARU: Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya kepada maklumat yang disebarkan dalam media sosial sebaliknya merujuk perkara itu menerusi laporan media arus perdana.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, media arus perdana perlu diberikan keutamaan kerana hanya berita sahih yang disiarkan.
“Wartawan banyak pengalaman dan boleh mengesahkan sesuatu yang berlaku. Sebab itulah media arus perdana harus diutamakan.
“Jadi itulah bezanya media sosial dengan arus perdana,” katanya semasa Majlis Makan Pagi Bersama Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di sini hari ini.
Fahmi berkata, kerajaan akan melancarkan Chatbot di aplikasi WhatsApp dalam masa terdekat bagi menangkis penularan berita palsu di aplikasi berkenaan.
Katanya, langkah itu adalah salah satu usaha penambahbaikan kepada portal sebenarnya.my dalam mendapatkan maklumat tepat.
“Orang ramai yang kurang pasti dengan satu-satu berita boleh panjangkan perkara itu kepada Chatbot.
“Chatbot yang menggunakan AI atau kecerdasan buatan memberikan respon kepada pertanyaan tersebut sama ada maklumat itu sahih atau sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata, peringkat awal ia berfungsi untuk mesej dalam bentuk teks sahaja dan akan dinaik taraf bagi kandungan video dan grafik. – UTUSAN