KUALA LUMPUR: Syarikat tekstil terkemuka, Jakel menyasarkan peningkatan 20 hingga 30 peratus keuntungan untuk promosi kempen Raya Mendonia Bersama Jakel 2025 sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, jumlah sasaran itu adalah daripada perbelanjaan yang dikeluarkan pada kempen tersebut.
“Sasaran ini berdasarkan perbelanjaan kempen besar-bersaran yang melibatkan selebriti terkenal tanah air yang terlibat.
“Bagi mencapai matlamat tersebut kita turut meningkatkan bilangan baju sebanyak satu juta pasang bagi ibu, bapa selain 1.5 juta pasang untuk pakaian sedondon,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Raya Mendonia Bersama Jakel 2025 di sini.
Jelas beliau, Jakel juga meletakkan kos pemasaran kempen sebanyak RM10 juta bagi tahun ini.
Mohamed Faroz turut memaklumkan, Jakel akan membuat pelaburan sebanyak RM60 juta untuk pembukaan dua cawangan baharu di Sarawak.
Beliau berkata, dua cawangan itu dijangka dibuka di kuching dan Miri pada tahun depan.
“Setiap cawangan akan melibatkan kos RM30 juta dan kami sudah mengenal pasti lokasi.
“Saya sudah bertemu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tahun lalu untuk menyatakan hasrat jakel membuka cawangan di sana,” katanya.
Setakat ini, Jakel mempunyai 26 cawangan di seluruh Malaysia.
Dalam pada itu, Mohamed Faroz berkata, inisiatif pengumuman duta serta pelancaran kempen tersebut adalah persediaan awal bagi membuka peluang kepada pelanggan memilih pakaian berteraskan rekaan trend terkini dan pilihan warna lebih segar.
“Jakel turut menawarkan pakaian dengan warna popular dan terkini seperti hijau Emerald, warna Burgundy, merah jambu gelap (Dark Pink), merah jambu (Fuchsia) dan biru lembut.
“Kita juga akan menampilkan harga rakyat iaitu dengan menawarkan Baju Melayu Madani berharga RM99 sepasang termasuk sehelai samping percuma bernilai RM49, selain baju Melayu Fattah Amin pada harga RM149 termasuk samping percuma bernilai RM99,”katanya.
Antara duta dipilih memperagakan produk raya Jakel 2025 ialah Fattah Amin, Amira Othman, Nabil Ahmad seisi keluarga, Cik Epal, Elly Mazlein, Anzalna seisi keluarga, Senario union, pempengaruh Tiktok, Sallywho seisi keluarga termasuk Upin & Ipin. – UTUSAN