Jagdeep terpaksa kosongkan jawatan dalam PBA kerana gagal penuhi syarat

Jagdeep terpaksa kosongkan jawatan dalam PBA kerana gagal penuhi syarat

JAGDEEP SINGH DEO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo didakwa telah mengosongkan jawatannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah PBA Holdings kerana gagal memenuhi syarat minimum yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ketika mengesahkan perkara itu berkata, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat terpaksa berbuat demikian selepas gagal mencapai tahap kehadiran minimum dalam mesyuarat lembaga pengarah syarikat tersebut sebelum ini.

“Apabila mana-mana pengarah gagal mencapai kehadiran minimum, maka, setiausaha syarikat perlu melaporkan perkara itu kepada Bursa Malaysia bahawa pengarah tersebut dianggap telah mengosongkan jawatan kerana tidak mematuhi keperluan,” katanya di sini, semalam.

Semalam, PBA telah memfailkan kepada Bursa Malaysia bahawa Jagdeep mengosongkan jawatannya sebagai pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif mengikut Perenggan 15.05(3)(c) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd dengan serta-merta.

Di bawah keperluan tersebut, pengarah dianggap telah mengosongkan jawatan jika beliau tidak hadir lebih daripada 50 peratus daripada jumlah mesyuarat lembaga pengarah yang diadakan sepanjang tahun kewangan.

Jagdeep sebelum itu dilantik ke Lembaga Pengarah PBA Holdings pada September 2023. Selain beliau, terdapat 11 individu lain termasuk Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid, dan Exco negeri, Zairil Khir Johari yang berada dalam senarai lembaga pengarah syarikat terbabit.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PBA berkata, syarikat itu sebenarnya hanya mengadakan lima mesyuarat lembaga pengarah sahaja pada setiap tahun.

“Sebahagian daripadanya (ketidakhadiran ke mesyuarat itu), saya difahamkan beliau (Jagdeep) perlu menjalani rawatan perubatan. Tetapi, sebagai pengarah syarikat tersenarai, setiap individu mesti sedar akan tanggungjawab mereka untuk mematuhi keperluan statutori.

“Bukan sahaja keperluan kehadiran, kadang-kadang kita perlu mengikuti kursus pengarah dan sebagainya,” katanya yang memberitahu, itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab apabila menerima pelantikan sebagai pengarah syarikat yang tersenarai.

Ketika ditanya sama ada lembaga pengarah mempunyai pengganti untuk mengisi kekosongan tersebut, Kon Yeow  berkata, setakat ini, tiada keperluan mendesak untuk mengisi kekosongan tersebut dengan segera.

“Kita masih belum perlu mengisinya dengan segera kerana kita mempunyai bilangan pengarah yang mencukupi pada masa ini,”katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya