IPOH: Seorang pemilik premis perniagaan di Panorama Perdana di sini perlu menanggung bil elektrik berjumlah RM1.2 juga kerana lot kedainya digunakan oleh penyewa untuk melakukan aktiviti bitcoin secara haram dalam tempoh antara Julai hingga Ogos tahun lalu.
Mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Yuan, 43, menyewakan lot atas premis perniagaan dua tingkatnya kepada seorang lelaki pada kadar sewa RM700 sebulan.
“Dia menyewa dengan alasan ingin meletakkan barangan stok perniagaannya dan saya tidak mengesyaki apa-apa kerana asalkan mendapat duit sewaan semata-mata.
“Namun, saya hairan kerana ada beberapa individu membawa wayar penyambung bekalan elektrik bersaiz besar di premis sewaannya namun kerana kesibukan menguruskan perniagaan salun rambut, perkara itu tidak diambil dengan serius,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Gopeng di sini hari ini.
Yuan merupakan antara 60 pemilik rumah dan lot perniagaan sekitar Gopeng, Simpang Pulai dan Lumut yang menjadi mangsa tuntutan bil berjumlah RM30,000 hingga RM1.2 juta kerana penyewa melakukan aktiviti bitcoin dengan melakukan penyambungan elektrik secara haram.
Kesemuanya juga sudah membuat laporan polis.
Pada masa sama, pemilik tidak mengetahui kegiatan penyewa tersebut kerana semakan bil elektrik bulanan menunjukkan kadar biasa premis.
Tambah Yuan, perbuatan tidak bertanggungjawab penyewanya itu hanya disedari selepas menerima tuntutan bil elektrik berjumlah RM1.2 juta.
“Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada penyewa namun malangnya dia menghilangkan diri meninggalkan lot perniagaan dalam keadaan terbiar.
“Cubaan untuk menghubunginya juga gagal kerana telah bertukar nombor telefon dan memberikan alamat palsu,” katanya.