Tubuhnya kelihatan sedikit menyusut berbanding sebelum ini. Tertanya-tanya juga apa puncanya. Namun, ia bukan satu masalah pun kerana yang penting, perubahan itu mencantikkan lagi pesona seorang Uqasha Senrose di mata banyak orang yang melihat.
Berbual ringan mengenai perubahan berat badannya, Uqasha dalam senyuman berkata, semuanya gara-gara Hawra Uqaira, puteri sulungnya yang kini semakin membesar dan telah memasuki tangga usia lapan bulan.
Kata pelakon ini, sejak melahirkan Uqaira, anak kecilnya itu membesar di tangannya sendiri tanpa bantuan pengasuh. Maka daripada awal dia sudah merasakan cabaran itu yang menyaksikan setiap momen didakap manis sebagai seorang ibu.
“Boleh dikatakan, bila anak dah masuk usia lapan ini, susah juga ya. Saya ingatkan selepas Uqaira sudah besar sedikit ini, lagi senanglah nak buat kerja, rupanya tidak juga ya,”katanya tertawa.
Menyambung kata, kongsi pelakon berusia 32 tahun ini, selepas melahirkan Uqaira, dia mengambil masa yang lama juga untuk menyusun semula trek perjalanan kerjayanya memandangkan naluri keibuannya cepat rapuh andai berlama-lama meninggalkan si anak di rumah.
“Ini saya baru back on track. Sekarang ini pun tengah jalani penggambaran filem dengan produksi Suhan untuk slot istimewa Ramadan nanti. Anak saya ini jenis tak mahu berenggang dengan saya.
“Dah besar sikit ini, dia lagi kenal kita, jadi nak keluar bekerja itu dia macam tahu-tahu sahaja dan lagi kuat menangis mahu emaknya.Dia pula daripada lahir, memang saya jaga sendiri sampailah dah berusia lapan bulan ini.
“Memang keadaan ini agak mencabar juga untuk saya,”katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Mengakui cabaran sebagai ibu itu tidak mudah, kata Uqasha, adakala, terbit di hatinya perasaan rindu sebagaimana kehidupan belum memiliki anak kecil di sisi.
“Menjadi seorang ibu, ya, betul kita menikmati momen itu. Tetapi ada juga kerinduan dengan kehidupan lama. Dulu, boleh tidur dan tengok movie pukul berapa pun kita mahu. Tak payah fikir nak kena bangun awal, siapkan itu dan ini.
“Tetapi pada masa yang sama, bila tengok wajah anak itu, rasa terharu dan sayang itu membuak-buak. Ya Allah, inikah anak aku? Lama-lama jadi okey perasaan itu. Ia bagaikan satu perkara yang sukar digambarkan.
“Namun hati tetap bahagia. Habis sahaja kerja, saya jadi ada satu motivasi nak balik rumah segera sebab nak tengok anak,”katanya.
Bagaimanapun, luah Uqasha, bohong seandainya dia mengatakan bahawa bergelar seorang ibu ini tidak membungkam dirinya dengan kepenatan.
“Penatlah. Tidak dinafikan, penat itu. Tetapi ia sebuah kepenatan yang berbaloi. Sekarang ini, kalau saya pergi kerja dan habis lewat, bila pulang tengok anak sudah tidur, saya sengaja akan pergi kepada Uqaira dan usik dia supaya terbangun sebentar.
“Saya tukarkan lampin dan sebagainya, kemudian dodoikan dia tidur semula. Sebolehnya saya nak pastikan dia tengok juga wajah saya meskipun sudah pulang lewat,”katanya.
Sikap protektif
Mengajaknya berbicara sama ada dirinya merupakan seorang ibu yang bersikap protektif, Uqasha mengakui akan perkara tersebut.
Kata pelakon yang juga isteri kepada aktor, Kamal Adli ini, dia juga memiliki sisi paranoid dan semua itu sejak wujudnya Uqaira hadir menyerikan kehidupannya dengan suami.
“Semasa awal-awal saya melahirkan Uqaira, sikap paranoid itu tiba-tiba muncul. Mungkin kerana saya pertama kali menjadi seorang ibu bukan. Antara yang saya buat, selalu basuh kelengkapan anak, baik pakaian, cadar, apa sahaja.
“Saya jadi bimbang ia tak bersih dan ada habuk, bimbang anak sakit. Sampai sekarang pun begitu. Tetapi, saya ingatkan cuma diri sendiri sahaja yang paranoid, rupanya adik saya, Nelydia pun sama,”katanya.
Kongsi Uqasha, adik-beradiknya baik Nelydia dan Raisya sentiasa membantunya dalam menguruskan Uqaira. Namun, Nelydia adalah yang paling protektif dalam kalangan mereka.
“Alhamdulillah, adik-beradik saya sentiasa nak tolong jaga Uqaira. Nelydia adalah yang paling protektif. Dia sayang sangat dengan Uqaira dan buat kita rasa selamat. Selalu datang tawarkan diri jaga Uqaira.
“Dia juga adalah yang selalu pesan dengan semua orang supaya jaga kebersihan diri sebelum pegang atau peluk cium Uqaira. Bagus juga dia tolong cakapkan dengan semua orang, sekurang-kurangnya tidaklah orang berkecil hati dengan saya,”katanya.