SEOUL: Pelakon, Kim Soo-hyun tampil menjelaskan khabar angin kononnya dia sedang menjalin hubungan istimewa dengan aktres, Kim Ji-won.
Spekulasi itu sudah lama bertebaran melihat kepada keserasian mereka membawakan watak suami isteri dalam drama popular, Queen of Tears.
“LOL, mulai hari ini tolonglah tonton drama sebagai ‘drama’ sahaja,” tulisnya ringkas.
Kim merespons sebuah komen yang mendesaknya mengesahkan hubungan percintaan dengan Kim Ji-won di sebuah aplikasi.
Rata-rata peminat terkejut dengan tindakan Kim kerana ini adalah kali pertama pelakon itu buka mulut mengenai gosip percintaannya selama ini.
Terdahulu, seorang peminat menurunkan komen berbunyi ‘cepatlah kahwin dengan Kim Ji-won. Tunjuk sahaja yang memang ada berdua saling mencintai dan sedia jadi suami isteri’.
Khabar angin hubungan mereka mula bertebaran sejak tahun lalu setelah peminat mendakwa hantaran Instagram mereka ditujukan kepada satu sama lain.
Bagaimanapun, pihak agensi mereka telah menafikan khabar angin tersebut. -UTUSAN