PETALING JAYA: Dasar waktu bekerja berlainan (WBB) yang dicadang oleh Kementerian Kesihatan (KKM) didakwa tidak mencerminkan realiti sebenar untuk cara bekerja doktor di hospital awam.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, isu sebenar apabila doktor kena kerja lebih masa adalah kekurangan petugas kesihatan, bukan disebabkan jadual waktu bekerja.
Oleh itu, kata beliau, penyelesaian terhadap masalah tersebut adalah KKM perlu menambah petugas kesihatan bukan mengurangkan waktu bekerja.
“Saya percaya walaupun jadual baharu menunjukkan jumlah waktu bekerja berkurangan tetapi ia hanya sekadar teori dan angan-angan.
“Realitinya petugas kesihatan kita tetap akan terpaksa bertugas lebih masa disebabkan tugas yang banyak berbanding petugas yang ada,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, dasar WBB akan diputuskan selepas sesi pemukiman KKM melibatkan pimpinan tertinggi hujung minggu ini.
Kata beliau, dasar WBB dalam sektor kesihatan awam mampu mengurangkan ‘beban’ yang perlu ditanggung oleh pegawai dan pakar perubatan.
Jelasnya, dasar tersebut akan mengurangkan tempoh bekerja atas panggilan aktif daripada maksimum 33 jam kepada 18 jam untuk setiap sesi kerja kakitangan yang terlibat dan memastikan mana-mana pegawai tidak bertugas melebihi 24 jam.
Mengulas lanjut, Akmal yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, KKM patut menghargai petugas kesihatan walaupun berdepan dengan kekangan kewangan.
“Sekurangnya hargailah petugas kesihatan kita ini dengan tidak memotong elaun on-call setelah bekerja selama 18 jam dan jika tidak mahu bayar elaun tersebut pun, kiralah bayaran mengikut jam.
“Hargailah petugas kesihatan kita yang banyak bekorban untuk rakyat negara ini dan masih setia bekerja di sektor awam.
“Harap pembuat polisi yang (kerja dari) 8 pagi (hingga) 5 petang dan cuti Sabtu serta Ahad dapat memahami apa sebenarnya yang dihadapi oleh petugas kesihatan kita di bawah ini,” katanya. – UTUSAN