PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak mahu dilihat agak tergesa-gesa dalam proses penyiasatan isu sandwic yang tidak memiliki sijil halal.
Justeru, Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, sekiranya benar ada kes, maka ia akan diuruskan sendiri oleh bahagian pendakwaan terhadap pihak yang didapati terlibat.
“Platform terbaik bagi saya biar lah melalui pendakwaan yang menentukan sabitan sebab pernah ada kes sebelum ini digugurkan ekoran isu teknikal,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat pada Majlis Perutusan Hala Tuju KPDN 2025 di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menyatakan bahawa keputusan produk itu bakal diumumkan oleh KPDN susulan ujian dilaksanakan oleh Jabatan Kimia bagi menentukan kandungan makanan itu yang didakwa tular ada genetik babi dan tiada rekod Sijil Pengesahan Halal Malaysia.
Mengulas lanjut, Armizan mengakui belum pun lagi menerima laporan daripada jabatan itu namun memaklumkan bahawa secara prinsip tiada keperluan untuk berbuat demikian.
“Kita bagi ruang cukup kepada penyiasatan menyeluruh lengkap dan saya beri jaminan komitmen KPDN untuk memastikan proses ini telus sehingga dapatan diperoleh,” tegasnya.
Isu sandwic tersebut tular apabila Universiti Malaya menutup serta merta dua premis runcit 24 jam dalam kampusnya di ibu negara kerana didakwa menjual produk diragui halal, malah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan tidak mempunyai sijil halal selepas pemeriksaan dilaksanakan bersama KPDN baru-baru ini. – UTUSAN