PETALING JAYA: Sebarang isu yang berbangkit berhubung Laut China Selatan harus diselesaikan secara harmoni melalui saluran diplomasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, malah pertikaian yang timbul terhadap perairan itu juga perlu ditangani melalui undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata demikian dalam Facebook setelah menerima kunjungan hormat delegasi dari China yang diketuai Ketua Turus, Jabatan Turus Bersama Suruhanjaya Ketenteraan Pusat China, Jeneral Liu Zhenli di Putrajaya semalam.
Dalam pertemuan itu, Anwar berkata, kedua-dua pihak juga menyentuh isu dan kerjasama strategik berkaitan kepentingan kedua-dua negara di samping membicarakan mengenai hubungan utuh Malaysia-China selama lebih lima dekad.
“Ini termasuk kerjasama dalam bidang pertahanan yang terbina atas premis persefahaman dan kepercayaan. Malaysia dan China sedia untuk meneroka usaha memperhebat kerjasama ini.
“Kami turut bicarakan mengenai Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, yang buat julung kalinya bakal menganjurkan persidangan ASEAN+GCC+China,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang akan berlangsung di Malaysia pada 2025 sempena kepengerusian ASEAN, dijangka membentuk pakatan segi tiga yang berpengaruh serta membuka potensi besar bagi kerjasama pelbagai hala rentas sektor.
Ketiga-tiga blok itu mempunyai kekuatan tersendiri yang boleh dimanfaatkan melalui kerjasama baik.
Kerjasama melibatkan tiga blok itu juga mampu meluaskan pasaran ekonomi negara terlibat, di samping mengelakkan kebergantungan kepada satu sumber pasaran semata-mata.