Isu jurubahasa dipertikai, bicara warga Israel tunda lagi

Isu jurubahasa dipertikai, bicara warga Israel tunda lagi

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes lelaki warga Israel, Avitan Shalom yang didakwa atas dua pertuduhan memperdagangkan enam senjata api dan memiliki 200 butir peluru ditangguhkan buat kali ketiga, hari ini.

Ia berikutan pihak pembelaan mempertikaikan isu berkaitan jurubahasa bahasa Ibrani. 

Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan tarikh perbicaraan kes berkenaan pada 6 hingga 9, 13 hingga 16 serta 20 hingga 23 Januari.

Bagaimanapun, pada 6 Januari lalu, perbicaraan ditangguhkan kepada 7 Januari susulan ketiadaan jurubahasa bahasa Ibrani untuk menterjemah keterangan saksi pendakwaan.

Namun, pada 7 Januari, mahkamah terpaksa menangguhkan perbicaraan kes berkenaan kerana pihak pembelaan tidak bersetuju prosiding diteruskan dalam bahasa Inggeris.

Pada Jumaat lalu, mahkamah telah memaklumkan pada pihak-pihak bahawa jurubahasa Ibrani telah dilantik dan perbicaraan akan bermula pada 13 Januari.

Semasa prosiding hari ini, peguam bela, Jeffrey Ooi berkata, pihak pembelaan memohon penangguhan berikutan masalah jurubahasa yang berkemungkinan menimbulkan isu.

“Kami percaya mahkamah telah menerima surat daripada peguam utama iaitu Datuk Naran Singh. Salah satu isu adalah berkaitan jurubahasa.

“Sekiranya tiada bantahan daripada pihak pendakwaan, kami memohon agar perkara ini diselesaikan dengan segera dan ditunda ke Februari untuk menangani isu tersebut,” katanya tanpa memperincikan isu berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam tidak membantah permohonan penangguhan tersebut namun memaklumkan pihak pendakwaan telah bersedia dengan saksi-saksi pada hari ini.

Seramai 30 orang saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan dalam kes tersebut.

Pada 12 April 2024, Avitan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pindaan yang dibacakan semula terhadapnya dalam bahasa Inggeris.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9×19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan maksimum enam kali.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan sekitar 6.46 petang, pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lalu di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya