PETALING JAYA: Isu Islam sudah terancam akan dijadikan sebagai senjata politik sebahagian pihak apabila sudah kehabisan modal untuk menyerang pihak lawannya.
Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, isu agama Islam terancang akan dicanang oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk meraih sokongan.
Beliau berkata, ketika ini isu buku tulisan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta sambutan perayaan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menjadi isu.
“Maka orang lain akan melihat seolah-olah ini Islam, sedangkan ia tidak lain dan tidak bukan taktik lapuk membakar sentimen bila habis modal politik,” katanya menerusi satu ciapan di akaun X rasminya, hari ini.
Polis sudah menerima tujuh laporan terhadap Hannah berhubung penerbitan buku berjudul Becoming Hannah yang didakwa mengandungi unsur penyebaran agama Kristian secara halus.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kesemua laporan terhadap Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Sementara itu, Kor Ming yang juga Naib Pengerusi Kebangsaan DAP diserang pemimpin-pemimpin pembangkang susulan sambutan perayaan Krismas anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). – UTUSAN