KLANG: Isu kekurangan bekalan beras tempatan dan harga belian padi melibatkan sesi libat urus yang panjang dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan memerlukan masa bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dalam proses itu kelak.
Katanya, faktor itu memfokuskan kepada pihak berkepentingan sama ada pengguna, petani, pengilang dan pengedar.
“Ia perlu dijaga kerana mereka mempunyai peranan masing-masing dan kita perlu membuat libat urus dengan lebih panjang.
“Kita akan berbincang dengan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kita akan membuat perubahan hasil persetujuan beliau nanti,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2024 di Bandar Bestari di sini, hari ini.
Kelmarin, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegur Ketua Kluster NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal supaya merujuk kepada pihak berkuasa berkaitan isu beras putih tempatan (BPT) sebelum mengeluarkan kenyataan.
Ketegasan itu bagi memastikan rakyat mendapat maklumat tepat dan semua langkah yang bakal diambil bagi memastikan keberadaan BPT di pasaran akan dimaklumkan selepas perinciannya dipersetujui kerajaan.
Terdahulu, Syed Abu Hussin yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang menyifatkan Mohamad sebagai gagal menjalankan tugas dalam menyelesaikan isu BPT yang berlarutan lebih dua tahun di negara ini.
Dakwanya, isu rakyat itu tidak serius ditangani dan peranan Bahagian Kawal Selia Padi Dan Beras dilihat tidak berkesan mencari penyelesaian dengan hanya menjanjikan kajian yang tiada berkesudahan.
Mengulas lanjut, kata Mohamad, perbincangan dengan Perdana Menteri akan dimulakan seawal minggu pertama sidang Parlimen tahun ini.
“Kita juga bersedia untuk menjawab segala persoalan yang timbul mengenai isu berkenaan pada persidangan nanti.
“Selain itu, kita mencari jalan memuaskan hati semua pihak termasuk faktor tuntutan harga padi, kenaikan harga beras dan kebajikan golongan B40,” katanya. – UTUSAN