KUALA LUMPUR: Isteri kepada pelawak dan pelakon Along Cham, Afreena Suhaimi membuat laporan polis berhubung kes penipuan melibatkan dana hampir RM100,000 yang didakwa dilakukan oleh seorang individu dikenali sebagai ‘Ika’.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mengesahkan polis menerima laporan tersebut yang dibuat di Kajang, Selangor.
“Isterinya (Afreena) membuat laporan bahawa dia ditipu oleh seseorang. Kes berkenaan sedang disiasat oleh polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, menerusi satu hantaran di Instagram, Afreena meluahkan keyakinannya bahawa kebenaran akan terungkap selepas laporan dibuat terhadap individu berkenaan.
“Selesai buat laporan polis. Seleweng RM100,000? Kebenaran akan menang pada akhirnya,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Selain itu, beliau turut berkongsi tangkap layar melibatkan seorang pempengaruh yang dipercayai menjadi mangsa penipuan individu sama.
Setakat ini, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa bagi mengenal pasti modus operandi serta tindakan lanjut yang akan diambil terhadap suspek. – UTUSAN