Isteri Along Cham buat laporan polis, dakwa ditipu RM95,180 - Utusan Malaysia

Isteri Along Cham buat laporan polis, dakwa ditipu RM95,180

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Selesai buat laporan polis, seleweng RM100,000? Kebenaran akan menang.”

Demikian kata isteri kepada pelawak, Along Cham, Afreena Suhaimi setelah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang terhadap seorang individu yang dikenali sebagai Ika atas dakwaan penipuan wang ringgit.

Menurut Afreena, dia telah ditipu sebanyak RM95,180 selepas menyerahkan wang tersebut kepada individu terbabit atas tujuan untuk membantu membebaskan Along yang ketika itu berada di dalam penjara.

Yakin kebenaran akan berpihak kepadanya, Afreena turut berkongsi tangkap layar perbualan bersama seseorang individu yang mendakwa dirinya juga pernah menjadi mangsa penipuan Ika menerusi sebuah hantaran Instagram Story.

Sementara itu, pempengaruh media sosial, Siti Jamumall turut tampil mempertahankan isteri pelawak tersebut selepas didakwa menyeleweng dana sumbangan mencecah RM100,000.

Turut membuat laporan polis di Balai Polis Setia Alam, Siti menjelaskan dia memberikan sumbangan sebanyak RM33,000 kepada Afreena sebagai tanda keprihatinan terhadap situasi tersebut.

“Walaupun tidak kenal, niat saya beri duit sebanyak RM33,000 hanya nak bantu Afreena yang mahu membebaskan suaminya.

“Afreena hubungi saya sambil menangis. Tambah pula saya faham betapa sukarnya seorang ibu mahu besarkan anak-anak sendirian.

“Berkaitan masalah hal rumah tangga mereka, saya tidak mahu masuk campur. Cumanya, memang ada bukti terdapat aliran wang sebanyak RM95,180 ke satu akaun perniagaan,” jelasnya.

Terdahulu, Along atau Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, mendakwa isterinya menyeleweng sumbangan awam hampir RM100,000 hasil kutipan daripada rakan-rakan artis, termasuk pelakon Datuk Aaron Aziz.

Perkara itu telah didedahkan oleh pelawak tersebut ketika nekad memfailkan pengesahan lafaz taklik di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selasa lalu.

Untuk rekod, Along berkahwin dengan Afreena pada 4 April 2024 selepas sembilan tahun hidup menduda.

Along juga pernah berkahwin dengan Zila Saeron pada 23 Januari 2010, namun bercerai pada tahun 2016.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, 14.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya