Ismail Izzani bangkit dari fasa sukar - Utusan Malaysia

Ismail Izzani bangkit dari fasa sukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISMAIL Izzani ibarat ‘magnet’ kontroversi. Ada sahaja cerita panas yang dikaitkan dengan nama penyanyi dan pelakon ini.

Dalam satu fasa, pelbagai gelaran negatif yang diberikan netizen kepada anak muda ini kerana masalah gejala sosial yang membelenggu dirinya sebelum ini.

Itu dahulu. Buku lama kehabisan laman, lembaran baharu dibuka pula. Kini, Ismail atau lebih mesra dengan panggilan Mail terlahir semula sebagai pemuda yang lebih matang.

Dua tahun diambil untuk mencari semula dirinya yang hilang. Dan tempoh itu jugalah dimanfaatkan anak penyanyi Suliza Salam ini mencari rentak.

“Dua tahun sebelum ini adalah proses pemulihan mental dan fizikal saya. Selepas dihimpit pelbagai kontroversi, saya perlu tempoh bertenang.

“Saya masih masih terlalu muda ketika nama saya dikaitkan dengan cerita-cerita yang kurang enak. Bukan mudah untuk saya harunginya.

“Apa pun kehidupan adalah proses pembelajaran dan saya manfaatkan sepenuhnya tempoh berehat itu untuk menyusun perancangan sebelum bangkit semula.

“Banyak pengajaran yang saya timba selepas mengharungi semua kontroveri yang berlaku kepada saya. Kini saya sedar keluarga adalah ubat bagi segala masalah yang saya hadapi. Dengan meluangkan lebih banyak masa dengan mereka, saya menjadi lebih tenang,” katanya semasa pelancaran The Imano Experience 2.0 di Aquaria KLCC, baru-baru ini.

Tumpuan Ismail sekarang lebih terarah untuk membina karier seni yang sebelum ini hampir ranap. Ismail tidak lagi menoleh kebelakangan, enggan menangisi fasa silam yang mendukacitakan.
“Saya bermula sebagai penyanyi. Justeru saya mahu orang kenang saya dengan karier itu.

“Ada satu ketika saya lebih aktif berlakon, sehinggakan peminat menyangka saya ini asalnya pelakon. Walhal saya bermula sebagai penyanyi.

“Jadi hasrat saya tahun ini adalah untuk menghadiahkan peminat lebih banyak karya muzik yang berkualiti,” kongsinya.

Kata Ismail lagi, dia tidak mahu masyarakat mengenang cerita buruknya yang berlaku sebelum ini. Yang diharapkan adalah peluang kedua untuk menjadi manusia yang bermanfaat dan lebih baik.
“Ramai yang membenci saya, buat cerita itu dan ini. Tapi yang menjalani kehidupan itu adalah saya.

“Pengalaman yang saya lalu sebenarnya membantu untuk menjadikan saya lebih matang. Membuatkan saya lebih faham diri saya sendiri,” jelasnya.

IMAN

Pelbagai reaksi yang diterima pemilik nama sebenar Ismail Izzani Zainal Nazeri ini susulan penghasilan lagu Iman yang menemui pendengar tahun lalu.

Komen bercampur positif dan negatif ditulis peminat di media sosial mengenai lagu tersebut.

Namun Ismail menerima baik setiap kritikan yang dilayangkan terhadap karya-karya muziknya.

Malah, penyanyi ini sebenarnya sedang bereksperimentasi dengan pembaharuan nashkah.

“Mungkin ramai pendengar yang belum sedia menerima rentak muzik lagu tersebut yang kedengaran agak baharu dalam industri muzik tanah air.

“Namun saya terima keadaan itu. Saya cuma mahu keluar daripada zon selesa.

“Saya boleh sahaja hasilkan lagu pop yang mengikut trend semasa. Dan saya tahu pendengar akan berikan sokongan. Tapi saya pilih untuk bereksperimentasi dan sajikan pembaharuan,” kongsinya.

Ditanya sama ada dia tergugat dengan kehadiran ramai penyanyi baharu, Ismail berkata dia tidak pernah berperasaan begitu.

“Sebenarnya saya lebih gembira dengan kedatangan mereka mewarnai dunia hiburan tempatan.

“Hakikatnya, penglibatan saya dalam industri ini bukanlah untuk menyaingi sesiapa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya