Irfan Bakti mahu manfaat semangat 'gila bola' rakyat Kelantan

Irfan Bakti mahu manfaat semangat ‘gila bola’ rakyat Kelantan

IRFAN Bakti Abu Salim (kiri) diperkenal secara rasmi sebagai Ketua Jurulatih Kelantan oleh Presiden KRWFC, Nik Hafiz Naim Nik Hassan pada sidang akhbar di Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ketua Jurulatih Kelantan Red Warriors (KRW), Irfan Bakti Abu Salim bertekad membawa Kelantan ke persada Liga Malaysia (Liga M) bagi mengembalikan kegemilangan yang pernah dikecapi rakyat di negeri Serambi Mekah ini.

Irfan berkata, apabila bersama pasukan yang mewakili Kelantan, maka tiada masa untuk bereksperimen sebaliknya perlu terus mengembling usaha selain memanfaatkan sepenuhnya semangat ‘gila bola’ dalam diri setiap rakyat negeri ini.

“Semangat bola Kelantan ini lain sikit dan perlu ingat, sebelum JDT (Johor Darul Ta’azim), kita (Kelantan) lebih dahulu ‘gila bola’ dan boleh dikatakan kita adalah pelopor kepada semangat itu dalam arena bola sepak Malaysia.

“Memang hasrat saya  membawa Kelantan kembali ke tempat sepatutnya, iaitu di persada Liga M. Bukan mudah tetapi kita perlu lakukan,” katanya pada sidang akhbar memperkenal Ketua Jurulatih KRW di sebuah hotel, di sini hari ini.

Irfan Bakti mendedahkan terdapat ramai pemain kelahiran Kelantan dan luar negeri ini telah menghubunginya serta Presiden Kelab Bola Sepak Kelantan Red Warriors (KRWFC), Nik Hafiz Naim Nik Hassan untuk menyatakan minat bersama KRW.

Ditanya apa yang membuka hatinya untuk bersetuju menerima tawaran dari KRWFC, Irfan Bakti menegaskan bukan soal bayaran menjadi keutamaan sebaliknya cabaran untuk membina, melatih dan membawa sebuah pasukan dari bawah ke persada Liga M menjadi penarik utama.

“Dari sudut pembangunan pasukan, sebagai seorang bekas tentera dan bersara dengan pangkat kapten, saya amat mementingkan disiplin dan sudah tentu ciri-ciri pemain yang kita mahu adalah berkualiti serta tidak sekadar menjadi penumpang.

“Kita mahu ambil yang betul-betul boleh bermain bola. Dalam memperkatakan kualiti, sudah pasti kita turut memerlukan beberapa pemain berpengalaman untuk menjaga serta membimbing pemain-pemain muda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya