KUALA LUMPUR: Senapang dan pistol tiruan serta bahan letupan merupakan antara barangan kes bernilai RM387,227 yang dilupuskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields selepas mendapat perintah mahkamah.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, sebanyak 1,874 unit barangan dirampas melibatkan pelbagai kes jenayah dan kontraban telah dilupuskan dalam majlis khas di IPD Brickfields, di sini hari ini.
“Pelupusan tersebut membabitkan 101 kertas siasatan yang telah selesai perbicaraan di mahkamah.
“Kesemua barangan itu merupakan rampasan yang dibuat dari tahun 2019 hingga tahun lalu,” katanya.
Menurut beliau, pelupusan barangan berkenaan melibatkan dua bahagian utama iaitu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Daerah Brickfields.
“Proses pelupusan tersebut menunjukkan komitmen pihak polis dalam memastikan barang kes tidak disalah guna dan dilupuskan secara profesional setelah melalui proses perundangan,” katanya ketika sidang akhbar selepas majlis tersebut.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kuala Lumpur, Mohd Sabri Othman dan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 8 Kuala Lumpur, Rosli Ahmad.
Dalam kes berlainan, Ku Mashariman menjelaskan Universiti Malaya (UM) telah melakukan operasi dalaman menangkap anjing liar yang berkeliaran dalam premis terbabit.
Menurutnya, pihak universiti juga sentiasa memaklumkan kepada polis mengenai tindakan susulan ke atas anjing liar yang dikenal pasti banyak terdapat di kawasan pusat pengajian.
“Tindakan dalaman pihak pengurusan universiti itu membabitkan bahagian keselamatan dan ahli veterinar pihak mereka.
“Selain itu, tindakan menangkap anjing-anjing liar turut dilakukan dengan bantuan aktivis haiwan,” ujarnya.
Sementara itu menurutnya, polis telah menerima keputusan bedah siasatan terhadap bangkai kucing yang diterima pada 2 Januari lalu.
Jelasnya, bedah siasat mendapati kematian itu disebabkan gigitan anjing liar. – UTUSAN