Industri padi pada titik terendah

Industri padi pada titik terendah

INDUSTRI padi sekarang berada pada titik paling rendah dengan pelbagai isu sejak kebelakangan ini. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMINGGU dua ini, hampir setiap hari pesawah dari seluruh negara berkumpul menuntut agar harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,800 atau sekurang-kurangnya RM1,600 per tan metrik.

Di sebalik kenaikan kos tanaman dengan hasil pula tidak menentu, pesawah terus terhimpit apabila harga belian padi didakwa bakal menjunam sehingga paras lantai iaitu RM1,300 per tan metrik.

Penurunan tersebut bakal menyaksikan pendapatan pesawah susut sehingga 30 peratus atau lebih iaitu hanya sekitar RM1,900 bagi keluasan satu hektar untuk hasil sekitar dua tan metrik. Kerja pagi dan petang, membanting tulang sehingga enam bulan, adakah jumlah seperti itu berbaloi untuk pesawah?

Kehidupan para pesawah kebanyakan masih berada di bawah paras kemiskinan dan mereka tidak ada pilihan terpaksa juga mengusahakan tanaman kerana ia merupakan satu-satunya sumber pendapatan meskipun berdepan pelbagai masalah sejak kebelakangan ini.

Bagi seorang pesawah, Mohd. Noor Hashim, 60, yang meluahkan kepada Utusan Malaysia, industri padi sekarang berada pada titik paling rendah dengan pelbagai isu sejak kebelakangan ini.

Kos tanaman meningkat, harga belian padi menurun, beras tiada di pasaran dan pelbagai lagi masalah lain yang membelenggu pesawah.

Bagi Mohd. Noor, dia melihat keadaan industri padi 10 tahun lalu adalah jauh lebih baik berbanding sekarang.

Dahulu, jarang mendengar masalah seperti ini. Kalau ada sekali pun hanya berkaitan penyakit atau bencana.

Melihat kepada situasi itu, adalah mustahil untuk kerajaan merealisasikan hasrat mengusahakan tanaman padi lima kali dalam dua tahun bagi meningkatkan hasil beras negara.

Ke arah itu, kerajaan perlu menyelesaikan terlebih dahulu berkaitan aspek harga belian padi, kos input pertanian, jentera yang semakin meningkat selain masalah infrastruktur terutama sistem pengairan.

Itu bagi pesawah. Di pihak pengilang juga berdepan masalah apabila didakwa menanggung kerugian dianggarkan mencecah sehingga RM900 juta setahun jika harga belian padi tinggi di sebalik harga beras pula masih rendah.

Bagi pihak pengilang, mereka menggesa agar kerajaan segera menyemak harga beras tempatan yang masih kekal pada harga RM26 bagi berat 10 kilogram iaitu sejak 16 tahun lalu. Kenaikan harga beras itu bakal memberi situasi menang-menang untuk semua pihak.

Harga beras tempatan RM26 bagi berat 10 kilogram itu sudah tidak lagi relevan memandangkan ia adalah ketika harga belian padi pada masa itu sekitar RM950 per tan.

Kerajaan perlu melihat situasi tersebut agar nasib pesawah terbela manakala pengilang pula tidak terus menanggung kerugian.

Sudah masuk tahun 2025, nasib pesawah masih tidak berubah sedangkan kita sudah mempunyai teknologi yang baik bagi meningkatkan hasil padi setiap musim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya