PUTRAJAYA: Seorang individu ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki membayar rasuah berjumlah ratusan ringgit kepada seorang anggota penguat kuasa.
Ia sebagai balasan membantu meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan di sekitar ibu negara.
Perintah reman selama tujuh hari sehingga 10 Januari ini dikeluarkan Majistret Joanne Tan Xin Ying selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an itu telah ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun lalu.
“Suspek juga disyaki membayar rasuah berjumlah ratusan ringgit kepada anggota penguat kuasa terbabit bagi setiap kenderaan yang diperiksa dan bergantung kepada jenis kenderaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009. – UTUSAN