PETALING JAYA: Polis mengesahkan identiti mayat reput ditemukan di Banting, Selangor pada Sabtu lalu disahkan sebagai Yap Xin Yuan, 15, yang dilaporkan hilang di Kajang dekat sini, 19 Disember lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu disahkan Jabatan Kimia Malaysia selepas menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Menurutnya, mayat itu akan diserahkan kepada ahli keluarga di Hospital Banting petang ini.
“Mayat reput itu sah adalah remaja yang dilaporkan hilang sebelum ini hasil ujian DNA yang dijalankan Jabatan Kimia Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Selasa lalu, media melaporkan tiga lelaki ditahan polis termasuk teman lelaki remaja perempuan yang dilaporkan hilang pada 19 Disember lalu, selepas penemuan mayat reput di Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Sungai Changgang, Banting, Sabtu lalu.
Remaja perempuan terbabit, dilapor hilang sejak Khamis lalu, apabila tidak pulang ke rumahnya selepas tamat latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang di Batu 11, Cheras.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof dilapor berkata, laporan kehilangan Yap Xin Yuan, 15, diterima di Balai Polis Batu 9, Cheras pada 2.15 pagi.
Kali terakhir dia dilihat di gelanggang bola keranjang di Batu 11, dengan berpakaian baju tarian singa berwarna merah. Remaja ini berketinggian 155 sentimeter (cm), berat 39 kilogram, berambut panjang dan memakai pendakap gigi.- UTUSAN