Ibu sebabkan kematian anak dipenjara, teman lelaki didakwa membunuh

Ibu sebabkan kematian anak dipenjara, teman lelaki didakwa membunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Seorang ibu dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian anak lelakinya yang berusia enam tahun dengan mendedahkannya kepada kecederaan fizikal, dua minggu lalu.

Sementara itu di Mahkamah Majistret di sini, teman lelakinya didakwa membunuh kanak-kanak sama.

Di hadapan Hakim Norshila Kamarudin, ibu kanak-kanak itu membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Selepas menjatuhkan hukuman penjara, mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang berusia 25 tahun dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun serta dilarang memelihara dan menjaga kanak-kanak selama lima tahun selepas selesai menjalani hukuman pemenjaraan itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah mendedahkan kanak-kanak itu kepada tindakan yang menyebabkan kecederaan fizikal termasuk memukul, mencubit dan menampar sehingga mangsa meninggal dunia antara pukul 2 petang, 8 Januari dan pukul 6 petang, 9 Januari lalu di sebuah rumah di Jalan Zamrud, Taman Bukit Ampang di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran selain menyifatkan kesalahan itu sebagai serius kerana mengakibatkan nyawa anak kandungnya tergadai.

“Mohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi tertuduh. Sebagai ibu kandung, tertuduh tidak sepatutnya memukul, mencubit dan menampar mangsa sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela, Muhammad Aidil Akmal Sharidan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman denda dengan alasan anak guamnya telah menyesal atas perbuatan yang dilakukan.

“Tertuduh merupakan seorang penganggur dan ibu kepada dua orang anak iaitu mangsa dan seorang lagi yang berusia enam bulan. Dia tidak mempunyai pendapatan dan perlu menanggung anaknya. Dia telah menyesal atas apa yang telah berlaku dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan ini lagi,” katanya.

Menurut fakta kes, wanita itu memaklumkan anaknya mengalami demam panas dan sawan namun hasil bedah siasat mengesahkan bahawa kematian kanak-kanak itu berpunca daripada trauma tumpul di bahagian kepala dan abdomen.

Hasil rakaman percakapan tertuduh mendapati bahawa mangsa dipukul, ditampar, dicubit dan dimarahi oleh wanita itu kerana sering menangis serta tidak membuang air kecil dan besar dengan teratur. Tertuduh juga membiarkan mangsa yang demam dan tidak menghantarnya ke hospital.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, teman lelaki kepada wanita itu didakwa atas pertuduhan membunuh kanak-kanak tersebut.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Reza Zainurin, 35, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md. Top.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Reza didakwa telah membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dua bulan sekitar pukul 2.36 petang, pada 10 Januari lalu di lokasi yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum melebihi 40 tahun dan dikenakan sebatan maksimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 Mac hadapan untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

Pada 11 Januari lalu, media melaporkan, polis Selangor mengesahkan menerima laporan berkaitan kematian seorang kanak-kanak lelaki dipercayai menjadi mangsa dera ibu kandung bersama teman lelakinya di Taman Bukit Ampang di sini. 

Dilaporkan, kanak-kanak itu juga dibiarkan demam tanpa rawatan sehingga mengalami sawan selain dipukul dengan rotan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya