JEMPOL: Seorang ibu maut selepas hampir sejam bertarung nyawa dilanggar sebuah motosikal ditunggang remaja berusia 14 tahun dalam kejadian di persimpangan Blok 20, Felda Palong 5, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kemalangan kira-kira pukul 6.40 petang itu membabitkan dua buah motosikal iaitu motosikal jenis Yamaha Nouvo yang ditunggang mangsa berusia 43 tahun itu bersama pembonceng iaitu anak lelaki berusia empat tahun dan motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggangi remaja terbabit.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, kejadian dipercayai berlaku semasa dua beranak berkenaan dalam perjalanan dari jalan besar Felda Palong 5 menghala ke rumahnya.
“Setibanya di lokasi kejadian, semasa penunggang motosikal ingin membelok ke simpang kanan, pada masa yang sama datang sebuah motosikal yang ditunggang remaja lelaki dari arah belakang.
“Penunggang remaja itu telah memotong motosikal dinaiki dua beranak tersebut lalu berlaku pelanggaran. Akibat kemalangan itu, wanita berkenaan telah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Felda Palong 4, 5 dan 6 dan disahkan meninggal dunia pada pukul 7.30 malam di klinik tersebut.
“Manakala pembonceng iaitu kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan di bahagian bahu. Penunggang remaja pula mengalami kecederaan di bahagian kepala serta muka dan dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah serta ditahan di wad untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Chang Hook lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya. – UTUSAN