NIBONG TEBAL : Ibu kepada Nur Aqifah Humaira Abdullah, 6, yang maut akibat tersepit di celah meja lipat tidak pernah menyangka bahawa kejadian buruk itu akan menimpa anak perempuannya.
Rianafitri Asih, 38, berkata, hal ini demikian kerana, Nur Aqifah Humaira sering bermain di situ sebelum ini dan dia tidak pernah meninggalkan kanak-kanak itu bermain sendirian.
“Saya memang tidak pernah tinggalkan dia (seorang diri kecuali semalam) dan akan bawa ke tempat kerja sebaik sahaja pulang dari sekolah.
“Tidak sangka pula kejadian ini boleh berlaku (ketika ditinggalkan). Apapun, saya reda,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Al-Islah Permatang Tok Mahat di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 petang semalam, Nur Aqifah Humaira yang juga anak bongsu daripada tiga beradik dikatakan tersepit di celah besi sebuah meja lipat di rumah sewa mereka di Taman Seri Putera ketika sedang bermain seorang diri.
Ahli keluarga kanak-kanak itu cuba mendapatkan bantuan jiran untuk menghantarnya ke hospital, namun, mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Parit Buntar, Perak yang terletak tidak jauh dari situ.
Menurut polis, hasil bedah siasat mendapati, kematian Nur Aqifah Humaira dikatakan berpunca akibat pembengkakan otak disebabkan kekurangan oksigen dan tiada sebarang unsur jenayah dikesan setakat ini.
Sementara itu, Rianafitri berkata, bapa kepada Nur Aqifah Humaira iaitu suaminya telah meninggal dunia kira-kira dua tahun yang lalu akibat serangan jantung, namun, anaknya itu sering mengadu bahawa dia merindui arwah bapanya hampir setiap masa.
“Saya tidak terfikir pula kata-kata itu (merindui arwah bapanya) petanda bahawa dia sebenarnya akan meninggalkan kami buat selama-lamanya,” kata wanita tersebut.
Dalam pada itu, jenazah Nur Aqifah Humaira selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Al Islah Permatang Tok Mahat di sini dengan dihadiri oleh kira-kira 30 ahli keluarga termasuk saudara-mara dan jiran tetangga kira-kira pukul 2.15 petang tadi.-UTUSAN