KUALA LUMPUR: Sebatang pokok besar tumbang dan menghempap tiga kereta ketika hujan lebat bermula petang tadi di Persiaran Stonor, Jalan Stonor, di sini hari ini.
Kejadian berlaku sekitar jam 7.32 malam dab kemudian dilaporkan melalui MERS999 kepada Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak, tiba di lokasi bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sembilan anggota.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan G. Sandra Segaran berkata, pemeriksaan awal mendapati pokok tersebut telah tumbang secara tiba-tiba dan menghempap tiga buah kereta yang di tempat meletak kereta berhampiran.
“Pasukan bomba segera melaksanakan kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok yang tumbang.
“Operasi itu berjaya diselesaikan pada pukul 8.15 malam dan tidak melibatkan sebarang mangsa ketika kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurutnya, pihak bomba kemudian menyerahkan tugas seterusnya kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).