PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dan angin kencang di negeri-negeri Pantai Timur termasuk Sabah pagi ini.
MetMalaysia berkata, cuaca buruk itu dijangka berlarutan sehingga pukul 1 tengah hari ini.
“Di Kelantan, melibatkan kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di beberapa kawasan di Terengganu seperti Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
“Bagi Sabah pula, antara kawasan yang mengalami cuaca buruk adalah Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat (Pitas dan Kudat),” katanya.
Bagaimanapun, cuaca cerah dan baik kelihatan di sekitar Lembah Klang serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pagi ini. – UTUSAN