PETALING JAYA: MyHSR Corporation Sdn. Bhd. (MyHSR Corp) melaksanakan penilaian syarikat atau konsortium yang berhasrat membida projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.
Pengerusinya Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman berkata, bagaimanapun segala keputusan termasuk urusan pemberian kontrak dan pemilihan syarikat hanya akan ditetapkan kerajaan.
Beliau yang enggan menamakan syarikat tersenarai itu berkata, sebanyak tujuh syarikat disenarai pendek MyHSR Corp. selepas memenuhi kriteria ditetapkan.
“Pemilihan syarikat dan konsortium sudah ditapis dan permohonan (untuk membida) sudah ditutup untuk mana-mana pihak. Paling penting kami tidak mencadangkan kepada kerajaan nama-nama syarikat untuk melaksanakan projek HSR dan hanya menilai serta menyenarai pendek sahaja.
“Semuanya (pemilihan syarikat) dibuat kerajaan dan kita akan cuba berunding sebaik mungkin demi memastikan projek ini kelak, dapat direalisasikan tanpa menggunakan dana kerajaan, ” katanya kepada kepada Utusan Malaysia..
Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek HSR boleh dihidupkan semula sekiranya terdapat penyertaan penuh daripada sektor swasta dengan penglibatan kerajaan yang minimum.
Projek HSR dirasmikan pada 2016 oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan melibatkan beberapa laluan antaranya Kuala Lumpur, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura dengan kos projek menelan belanja kira-kira RM110 bilion.
Fauzi berkata, antara kriteria pemilihan syarikat yang berhasrat membida projek berkenaan adalah mempunyai kemahiran dan rekod pelaksanaan projek HSR sesebuah negara.
“Sebagai contoh, rekod pembinaan sepanjang 1,000 kilometer (km) di sesebuah negara dan siap mengikut tempoh ditetapkan.
“Anggaran ditetapkan syarikat juga perlu sesuai, kalau ada yang kata boleh buat dengan nilai RM5 bilion sedangkan kosnya RM110 bilion, itu tipu. Malah syarikat berkenaan perlu ada kemampuan kewangan mencukupi.
“Sebagai contoh, kos pembinaan bernilai RM120 bilion, maka syarikat berkenaan perlu ada kemampuan kewangan sebanyak itu. Kita tidak mahu nanti ia tergendala,” jelasnya. – UTUSAN