Hina YDPA, Iswardy didenda RM5,000

Hina YDPA, Iswardy didenda RM5,000

Iswardy Morni
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendenda aktivis, Iswardy Morni RM5,000 selepas didapati bersalah bagi pertuduhan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong menerusi Facebook, empat tahun lalu.

Hakim Datuk M. M. Edwin Paramjothy memutuskan demikian di akhir kes pembelaan. Mahkamah turut memerintahkan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan, lelaki itu perlu dipenjara selama enam bulan.

Terdahulu ketika membaca penghakiman ringkasnya, Edwin menyatakan hukuman denda RM5,000 itu dikenakan setelah mengambil kira tertuduh adalah pesalah kali pertama dan tidak mempunyai rekod kesalahan serupa sebelum ini.

Katanya, faktor mitigasi pesalah pertama secara umumnya berhak diterima melainkan ia adalah kes yang terlalu serius sehingga tidak membolehkan sebarang kelonggaran hukuman.

“Setelah meneliti semua pertimbangan yang relevan dan dalam usaha untuk mencapai hukuman yang mencerminkan kedua-dua elemen pencegahan dan pemulihan, saya mendapati bahawa denda sebanyak RM5,000 adalah sesuai dalam kes ini,” katanya.

Selain itu, Edwin berkata, kenyataan yang dikeluarkan Iswardy terhadap YDPA ke-16, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah tidak keterlaluan walaupun ia bersifat provokatif.

“Setelah meneliti fakta dan konteks, saya mendapati bahawa kata-kata yang dipersoalkan itu termasuk dalam skop Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan. Namun, setelah pertimbangan yang mendalam, saya merumuskan bahawa kenyataan tersebut berada pada tahap yang lebih rendah dalam spektrum ini.

“Penilaian itu dibuat berdasarkan ketiadaan bahasa kasar atau secara terang-terangan bersifat menghasut. Walaupun kenyataan itu bersifat provokatif, kandungannya tidak keterlaluan jika dibandingkan dengan manifestasi hasutan yang lebih serius.

“Selain itu, unsur teatrikal dan nada sindiran yang digunakan tidak meningkatkan kesalahan itu kepada tahap penghasutan yang jelas atau penghinaan secara terang-terangan,” katanya.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim manakala tertuduh diwakili peguam bela, Faizal Rahman.

Seramai sembilan orang saksi pendakwaan telah memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 3 Januari 2022 sementara Iswardy adalah satu-satunya saksi pembelaan.

Mengikut pertuduhan, Iswardy didakwa mengeluarkan kenyataan melalui Facebook dengan menyebut kata-kata menghasut yang mempunyai kecenderungan bagi mendatangkan penghinaan terhadap YDPA di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini pada 3 petang, 29 Mei 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya