KUALA LUMPUR: Ahli keluarga Datuk Seri Najib Razak meluahkan rasa sedih apabila UMNO menarik kembali keputusan bersolidariti untuk bekas Perdana Menteri itu di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya esok.
Anak Najib, Mohd Nazifuddin Mohammad Najib berkata, ia merupakan cabaran besar buat bapa dan seluruh ahli keluarganya yang perlu tabah menghadapi dugaan tersebut.
“Memang sedih, kita tidak pernah lagi melihat semua ahli UMNO keluar bersama dan bersolidariti untuk Datuk Seri Najib, ini dugaan yang sangat sukar.
“Setiap perjalanan mesti ada halangan sehinggakan hasrat untuk bersolidariti pun menjadi isu,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.
Namun, beliau berkata, pihaknya tetap hormat dengan keputusan UMNO kerana perlu akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong serta arahan Ketua Polis Negara untuk tidak meneruskan perhimpunan, esok.
Namun, beliau menegaskan, perhimpunan solidariti untuk bapanya juga adalah sebagai tanda sokongan penuh rakyat terhadap titah Yang di-Pertuan Agong yang mencerminkan kepentingan institusi diraja dalam menegakkan kedaulatan negara.
“Kehadiran rakyat menunjukkan keprihatinan dan solidariti dalam memastikan titah tersebut dihormati dan dilaksanakan sesuai dengan perlembagaan serta prinsip undang-undang negara.
“Kita patuh pada arahan UMNO, namun ramai daripada keluarga dan sahabat Datuk Seri Najib akan bersama dengan kita esok. Jadi, kita teruskan solidariti dan teruskan sokongan untuk beliau,” katanya.
Mohd. Nazifuddin yang juga mewakili pihak keluarga Najib turut menjelaskan, tiada sebarang paksaan kepada mana-mana pihak untuk terus bersolidariti demi bapanya, malah sangat menghargai setiap sokongan yang diberikan.
Dalam pada ituu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menegaskan, keputusannya untuk tetap ‘turun’ pada Himpunan Solidariti demi memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu.
Malah, beliau mengesahkan tindakannya itu telah dimaklumkan kepada Biro Politik UMNO untuk menyertai perhimpunan di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya esok.
Tegas beliau, kehadirannya bukan untuk berhimpun semata-mata, tetapi sekadar memberi sokongan kepada Najib dan beliau tidak nampak sebarang kesalahan untuk berbuat demikian.
“Ini bukan kali pertama saya turun. Setiap kali Najib hadir ke mahkamah, saya memang akan hadir, dan kehadiran saya nanti bukan untuk berhimpun tetapi lebih kepada menyatakan sokongan moral kepada beliau.
“Saya bukan tidak patuh kepada arahan parti, saya telah memaklumkan kepada Biro Politik UMNO dan mereka bersetuju dengan tindakan saya.
“Saya tidak nampak tindakan itu untuk menggugat kerajaan atau sesiapa pun, tetapi hadir kerana Najib adalah pemimpin yang banyak berjasa kepada kita. Sudah tentu kehadiran kawan-kawan ini memberi semangat baru kepada beliau,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.
Muhamad Akmal turut menegaskan yang beliau akan hadir bersama Pemuda UMNO yang lain namun memberi jaminan untuk tidak terlibat dalam sebarang perhimpunan yang melibatkan keganasan atau sebarang bentuk melanggar undang-undang.
“Kita akur pada titah Agong tentang kedaulatan undang-undang. Sebagai ahli parti, saya juga akur dengan setiap keputusan parti, tetapi parti sudah menyatakan tidak ada sebarang perhimpunan dan kita sebagai ahli ingin menunjukkan solidariti dan sokongan terhadap Najib.
“Siapa yang datang, boleh datang dengan tenang dan tidak perlu ada sebarang provokasi dan berakhir dengan baik. Saya percaya dari segi kedaulatan undang-undang sememangnya menjamin hak setiap rakyat untuk berhimpun dan saya yakin ramai ahli UMNO yang turut akan hadir,” katanya. – UTUSAN