PETALING JAYA: Rancangan MIC mengadakan perhimpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razajk di kuil Hindu Batu Caves mengundang kritikan.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara yang juga Naib Presiden PKR, K. Saraswathy berkata, tempat ibadat tidak sepatutnya dicemari dengan sebarang aktiviti berunsur politik.
Kata beliau, ruang ibadat seharusnya tertumpu pada aktiviti-aktiviti spiritual, sosial dan komuniti tanpa dipengaruhi oleh sebarang agenda politik.
“Pemimpin komuniti dan jawatankuasa pengurusan kuil yang memantau tempat ibadat di negara ini perlu bertindak lebih bertanggungjawab dan menegakkan standard etika bagi mengelakkan campur tangan politik.
“Membenarkan kawasan Kuil Batu Caves digunakan untuk perhimpunan bermotif politik merupakan kegagalan pihak pengurusan dalam menjaga kesucian dan neutraliti tempat ibadat, kerana aktiviti sebegini juga boleh mencetuskan duluan yang berbahaya,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan, MIC meneruskan himpunan solidariti bagi menyokong Najib dengan menukar lokasi dari Istana Kehakiman Putrajaya ke Batu Caves.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, himpunan tersebut akan diadakan di Kuil Murugan sekitar jam 11 pagi hari ini bagi tujuan sembahyang khas.
Menurutnya, perkara tersebut terpaksa diteruskan mengambil kira komitmen dan sokongan beribu-ribu ahli MIC yang sanggup menjadi sukarelawan untuk acara berkenaan.
Hari ini, rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman serta notis usul difailkan beliau untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum, didengar oleh Mahkamah Rayuan.
Mengulas lanjut, Saraswathy berkata, tindakan menggunakan tempat ibadat untuk tujuan politik boleh mengaburkan garis antara kepercayaan dan politik.
Malah, jelasnya, tindakan tersebut turut boleh mencetuskan perpecahan.
“Walaupun perhimpunan ini digambarkan sebagai hak demokratik MIC, persoalan yang lebih besar mengenai kewajaran menggunakan tempat ibadat untuk ekspresi politik.
“Keseimbangan antara menunjukkan sokongan dan mengekalkan kesucian amalan keagamaan mesti dipatuhi oleh pemimpin politik,” katanya. – UTUSAN