TUMPAT: Semua pihak diminta supaya tidak terus menjadikan dakwaan Kerajaan Perpaduan menyorokkan Titah Adendum sebagai bahan polemik kerana perkara tersebut telah dijelaskan secara terperinci oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, tindakan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah membangkitkan semula isu itu tidak sepatutnya berlaku kerana penjelasan telah dibuat.
“Kerajaan tidak pernah lihat Titah Adendum dan kami tidak pernah menyorokkan perkara itu. Perdana Menteri sendiri telah jelaskan beliau tidak pernah terima dan dokumen tersebut berada di Istana Negara,” katanya selepas merasmikan Program Ihsan Komuniti Madani di Kampung Baru Nelayan, di sini semalam.
Sebelum ini, Tengku Razaleigh atau Ku Li menggesa supaya Perdana Menteri dan barisan Kabinet di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan perlu meletak jawatan selepas dakwaan menyorok perintah titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ku Li berkata, tindakan itu jelas melanggar titah diraja di bawah Perlembagaan dan ia bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan.
Dalam pada itu, Fahmi memberitahu, Ku Li sepatutnya memahami penjelasan yang diberikan Perdana Menteri sebelum ini dan beliau percaya, tokoh berkenaan tidak akan mengeluarkan kenyataan tersebut.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapat kebenaran Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum yang didakwa dikeluarkan Januari tahun lalu.
Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza pada 6 Januari lalu. – UTUSAN