BESUT: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu mematahkan cubaan memindahkan lembu secara haram menggunakan float kuda atau semi treler kandang haiwan selepas menahan seorang lelaki di Kampung Tok Has di sini, hari ini.
Pengarahnya, Dr. Anun Man berkata, tindakan lelaki berusia 40-an itu untuk mengaburi mata pihak berkuasa menggunakan kenderaan itu gagal selepas anggotanya mengesan perbuatan berkenaan kira-kira pukul 6.45 pagi.
“Lelaki terbabit cuba memindahkan seekor lembu dengan membawanya menggunakan float kuda yang ditarik dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton. Lazimnya, float hanya digunakan khas untuk mengangkut kuda,” katanya di sini hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati pemandu kenderaan tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen pindah dan kes disiasat di bawah seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 yang boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM15,000.
Dalam tangkapan berasingan, seorang lelaki berusia 30-an ditahan kerana cuba memindahkan seekor lembu menggunakan sebuah lori di Kampung Alur Keladi, Besut pada pukul 6.50 pagi ini. – UTUSAN