PETALING JAYA: Harga runcit bagi petrol RON97 dan diesel meningkat sebanyak tiga sen bermula esok hingga 8 Januari ini.
Kementerian Kewangan (MoF) berkata, kerajaan menetapkan harga runcit petrol RON97 pada RM3.28 seliter manakala harga runcit diesel di Semenanjung pula pada RM2.98 seliter.
Menurutnya, peningkatan tiga sen bagi dua petroleum itu, adalah seiring dengan peningkatan harga pasaran minyak dunia, malah, harga runcit diesel di Semenanjung masih kekal rendah berbanding harga diapungkan pada 10 Jun lalu iaitu sebanyak RM3.35 seliter.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON97 dan diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan juga menyokong kestabilan harga,” katanyai dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sementara itu, harga runcit petrol RON95 masih kekal pada paras sama iaitu RM2.05 seliter manakala harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labun turut kekal sama pada paras RM2.15 seliter.
“Kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” jelasnya. – UTUSAN