KUALA LUMPUR: Pelakon, Datuk Adi Putra, 44, enggan menjadikan masalah kesihatan sebagai alasan untuk berehat panjang dalam dunia lakonan.
Kata Adi, beliau perlu menyelesaikan tugas yang dipertanggungjawabkan meskipun belum sepenuhnya sembuh susulan jangkitan paru-paru yang dialami beliau baru-baru ini.
“Saya perlu selesaikan penggambaran drama Sekam Di Dada sebelum ditayangkan pada bulan Ramadan nanti meskipun keadaan kesihatan saya tidak berapa mengizinkan.
“Sikap saya, apabila sudah beri komitmen terhadap satu-satu kerja itu, saya akan galas dalam keadaan apa sekali pun kerana ia amanah.
“Selain itu, saya tidak mahu menghampakan peminat yang menyokong kerjaya seni saya selama 21 tahun. Tanpa mereka, tiadalah saya dalam industri seni.
“Apa pun saya hanya mohon kepada Tuhan agar diberi kekuatan untuk bekerja dan dipermudahkan segala urusan,” kongsinya.
Adi berkata demikian ketika ditemui semalam sempena pelancaran jenama Kurta Adi Putra x Qalee Eksklusif di ibu kota.
Disoal mengenai tahap kesihatan terkini, kata Adi beliau masih dalam proses pemulihan dan perlu menjalani rawatan berkala.
“Alhamdulillah sekarang keadaan saya lebih terkawal, namun rawatan dengan pengambilan ubat-ubatan perlu diteruskan.
“Disebabkan saya mengalami jangkitan paru-paru, pernafasan saya terjejas dengan dada terasa sempit apabila bernafas.
“Apa pun saya terima Qada dan Qadar dan saya percaya sakit itu penghapus dosa. Jadi saya hanya perlu laluinya sahaja,” kongsinya.
Sementara itu, Adi juga mengakui ada menerima nasihat doktor agar perjalanan seninya diperlahankan sementara untuk memudah dan mempercepatkan proses kesembuhannya.
“Saya akui saya ini degil. Disuruh rehat saya enggan. Saya tidaklah mahu angkat bakul sendiri dengan mengatakan saya ini rajin bekerja.
“Tapi kalau bukan saya yang selesaikan kerja-kerja tertangguh, siapa lagi? Lakonan pula bukan mudah cari pelakon ganti.
“Saya cuma berehat apabila hembuskan nafas terakhir,” kongsinya.
Mengulas mengenai perkembangan lain, Adi memaklumkan telah menolak beberapa tawaran sebagai jurucakap jenama pakaian lain bagi membolehkan beliau menumpukan kepada penghasilan dan penjualan jenama kurtanya sendiri.
“Jujurnya, ada lima tawaran saya tolak tahun lepas. Lumrah berniaga adalah persaingan, tapi itu bukan apa yang saya mahukan menerusi penghasilan kurta sendiri.
“Yang saya inginkan adalah berkongsi manfaat kurta ini, yang mana antara lain sesuai dipakai ketika mengerjakan umrah dan sebagainya,” kongsinya.